RSS
Showing posts with label Halal. Show all posts
Showing posts with label Halal. Show all posts

Thursday, February 27, 2025

Padii Cafe Sungai Layar

Aku nampak kedai ni antara beberapa kedai yang menarik pada mata aku ketika dalam perjalanan ke MADAD. Makanya, lepas check out, dan sebelum ke kenduri kahwin, aku singgah kedai tu untuk nikmati. Benda yang menarik perhatian aku katanya ada gulai ikan sembilang.

Lokasi kedai terletak di Sungai Layar, Sungai Petani, Kedah.



Cantik pemandangan dia. Cuma kalau hujan je problem sikit. Parking tak banyak. Memang terasa seperti makan kat pangkin tepi sawah la. Macam kat kampung dulu-dulu la.



Cuma aku kecewa sikit sebab gulai ikan sembilang tak dak. Yang ada gulai lain. Ikan sembilang bakar ada.
Lauk dia memang banyak la. Ulam-ulaman pun pelbagai. 


Aku ambil ikan sembilang bakar dengan ayaq asam. Nasi bersama masak lemak putih sayur pucuk, kerabu togey, tauhu jepun, sambal sotong gemuk, dan tak lupa ulam-ulaman bersama sambal belacan. Ayag pula aku ambil ayaq lemon kosong (nak cuci balik apa yang aku melantak ni.. hahaha tiber)




Lepas tu aku duduk la penjuru tepi, ala-ala macam tepi bendang, kat ban atau tali ayaq dia. Tengok burung-burung dan hijau padai (kalau padi menguning lagi cantik). Kelas suasana kampung.



Semua yang aku makan ni, cecah dlm RM38.

Kesimpulannya
1. Suasana memang menggamit kenangan. Pada yang rindu makan kat kampung, boleh makan sini. 
2. Makanan memang sedap. Sambal belacan dan ayaq asam dia memang pior dan puas hati. Bukan macam sambal belacan dan ayaq asam kat KL dan kebanyakkan kedai yang ceroi @ cair nak mampuih. Ni memang pekat dan likat habaq hang.
3. Sotong dia perfecto. Ikan sembilang dia pun kena dengan ayaq asam dan dibakar cantik.

Makanya, dari segi harga, memang berbaloi la makan sini. Boleh ulang makan.

Cuma kelemahan dia ialah parking limited dan kalau hujan, tempat makan tu kurang sesuai. Apa pun, memang berbaloi la.





Thursday, February 6, 2025

Pak Ayob Roti Canai, Sungai Petani, Kedah

Hari ke-3 kat Kedah, aku cari roti canai melayu. Kalau roti canai mamak, kat lembah klang ni berlambak.

Berdasarkan Google Maps pagi tu, ada beberapa kedai roti canai yang dicadangkan dan aku pilih Pak Ayob Roti Canai sebab masa aku google tu, dia paling hampir dengan tempat aku menginap serta dapat lebih dari 4 bintang kat review.

Lokasi kedai terletak di sini

Aku cuba

1. Roti canai kosong

2. Nasi lemak separuh, Sambal Sotong (satu), dan satu telur mata.

3. Teh Tarik kurang manis (leceh la orang kedah tak dak Teh C kosong)

Semua dalam RM7.50



Berdasarkan tekak aku

1. Roti canai dia biasa-biasa je. Kuah dal pun biasa je. Tiada yang istimewa.

2. Nasi lemaknya macam nasi putih. Santan tak terasa. Tiada wangi daun pandan dan bau serai. Sambal dia pun biasa je.

3. Teh tarik orang kedah ni memang manis sokmo

Kesimpulan

Kalau tak ada tempat lain nak makan roti canai, boleh la singgah mai. Kalau bagi aku, lebih baik aku singgah Hussain Nasi Dalca dekat simpang sebelum ke Taman Zamrud tu.

Burger No. 2 Paling Sedap - Hmmm

Baru-baru ni aku balik Kedah dan lepak kat Sungai Petani. Malam hari ke-2 tu aku ambil keputusan untuk mencuba kedai Burger No. 2 Paling Sedap yang terletak di Kampung Telok, Sungai Petani, Kedah.


Kenapa aku nak try? Dah banyak kali lalu kat tiktok aku komen dari influencer2 yang burger dia sedap. 

Jadi aku decide untuk cuba. Menu pilihan aku ialah
1. Burger Tuah
2. Kentang Goreng Spicy
3. Air Asam Boi (aku nak tanpa gula)






Jumlah kena bayar ialah RM24.80

Kawasan sekitar kalau di waktu matahari turun, mungkin menarik kerana di kelilingi kawasan tanaman padi. Tapi, kalau datang waktu malam, memang bosan la. gelap gelita wei.



Pendapat aku berdasarkan tekak aku

1. Kentang goreng dia sejuk dan dah lembik. Macam dah lama masak. Sepatutnya dia orang tak bagi kat pelanggan pun. Lepas tu rasa spicy dia tak dak langsung.
2. Burger dia pun dah sejuk. Rasa dah lama masak juga. Dan terlalu banyak sos mayonis. Sos cili kurang. Tak menarik dan tak sedap bagi tekak aku.
3. Air asam boi dia masih manis walaupun aku dah minta tanpa gula.

Kesimpulan

Mungkin kalau ada penambah-baikan, atau aku dah lupa pasal first time ni, aku akan singgah. Kalau tak, baik aku pi burger tepi jalan je.




Tuesday, June 19, 2018

Mee Goreng Mamak - Buat biaq betui

Aku bukan macam kebanyakkan pengacara siri masakan seperti beberapa pengacara dalam rancangan Eat Street, JJCM, Taste with Jason, etc.. yang adakalanya rasa tidaklah seberapa sedap, tapi sekali suap sesudu sudah mengaku wow, sudah kelu lidah kerana 'sedap' di bibir tapi susah nak masuk tekak. Dan sepanjang pengalaman aku, semua yang JJCM kata wow, hanya 20% je kut yang betul wow.

Lidah aku lidah utara, tapi apa jua makanan, negeri sembilan ka, kelantan ka, johor ka, jawa ka, semua aku belasah. Kalau sedap, aku cakap sedap dan InsyaAllah, bila aku cakap sedap tu, confirm 2/3 akan setuju dengan aku.

Tapi, bukan nak mengata pasal rancangan memasak. Kali ni aku nak kongsi resepi ringkas Mee Goreng Mamak (koay teow, meggi, mihun, etc yang ada perkataan mamak pun sama gak). Sebabnya ialah kerana aku dah fedup @ bosan dengan Mee Goreng mamak kat KL dan Selangor dan kini dah merebak kat restoran dan bistro mamak di utara, dek kerana identiti mamak sendiri sudah hilang kerana mengguna-pakai india yang datang khas dari india atau bangla atau pakistan atau indon. Malah ada kedai mamak yang menggaji melayu thai yang akhirnya memasak mee goreng mamak berasa thai.

Di Rawang misalnya, restoran *** maju ke restoran *** nas ke, kat country homes ke, kat tasik puteri ka, semua identiti asli mee goreng mamak sudah tiada. Kadang bila sampai aku rasa macam nak baling je pinggan.

Untuk pengetahuan semua, mee (atau mihun, koay teow atau meggi) goreng mamak:

  1. TIDAK ada sayur lain selain dari togey @ taugeh. Ini tidak, aku tengok ada sawi, kobis, karet, bla bla bla. Bila tengok ada sayur lain je aku dah rasa #lahanat ni bukan mee goreng mamak la. Mee mamak pakai TAUGEH SAHAJA.
  2. TIDAK letak bawang hatta bawang putih sebesar gabak dalam tu. Mee goreng mamak, dia pakai bawang putih dan bawang merah yang sudah digelek halus (atau zaman sekarang dimesin).
  3. TIDAK pakai cili potong. TIADA cili padi @ cabai kecik, cili hijau, cili merah dan cili kering. Dan jangan nak memandai pakai cilibo yang berperisa cuka kecuali korang dah masak dulu sampai bau cuka hilang. Mee goreng mamak pakai cili kering yang digilis halus (BUKAN cili padi nak kasi pedas). Dan bukan pakai cili kering gilis terus. Original Mee goreng mamak pakai 2 jenis cili yang sudah dimasak. Satu seakan warna pink gelap dan satu lagi warna merah, mengambarkan bahawa satu rasa pedas manis, manakala satu lagi pedas. Dan bila masak, mamak ada sukatan tertentu.
  4. Mee goreng mamak TIDAK basah berminyak, tetapi basah sebab cili yang digunakan. Ini aku tengok, hatta kat restoran di tepi pasar seni yang kononnya rasa penang pun berminyak. #jilake punya restoran.


Ok. So macam mana mee goreng mamak ni?
Member kat chowrasta goreng mee betui punya

  1. Mee dan taugeh akan di 'rebus' @ di panaskan dalam air sekejap.
  2. Sementara mee sedang dikembangkan dan taugeh dilembutkat, kuali akan dipanaskan dan dimasukkan minyak.
  3. Apabila minyak sudah panas dengan api yang kuat, bawang yang sudah dimesin/digiling halus akan dimasukkan, dan api dikurangkan
  4. Kemudian mee dan taugeh dimasukkan serta disimbah dengan kicap (2 jenis kicap, kicap masin dan kicap manis.. ada mamak pakai satu jenis je), dan disimbah dengan sos cili (yang pink dan yang merah bergantung pada permintaan nak pedas atau biasa).
  5. Selepas itu, sambil tunggu, mamak akan potong tauhu goreng, kentang rebus, 3 jenis kuih yang biasa digunakan dalam pasemboq dan masukkan dalam mee.
  6. Kemudian digaul hingga rata. Jika pelanggan nak sotong, diambil sotong sambal yang sudah dimasak dan dipotong kecil untuk dimasukkan.
  7. Lepas masuk, api dibesarkan kembali. Kemudian, dimasukkan telur serta ditambah cili sos (bukan sos botol tu ye) jika perlu. Api kekal besar seketika untuk memberi rasa hangit sedikit.
  8. Habis tu, diletak dalam pinggan bersama sebiji limau kasturi, sedikit daun sup/bawang, bawang goreng dan kacang tumbuk (tak semua letak kacang).

Wallawei.. ni baru mee goreng mamak.

Bawah ni beberapa mee goreng mamak yang betui punya.
Mee goreng biasa

Ada sotong dan kuah sikit

Yang biasa punya

Ni meggi goreng mamak

Ni mee sotong hameed pata (tapi aku suka member chowrasta punya lagi)

close look of real mee goreng mamak


Ni mee goreng mamak kat lorong kulit

Oppss.. ni pasemboq (tapi betui punya yang biasa kat penang)

Mee goreng mamak kat mana ntah..

Tuesday, July 26, 2016

Kassim Nasi Kandar, Jalan Dato Kerama, Georgetown, Penang

Ini adalah antara tempat kegemaran saya semasa kecil untuk makan. Sama ada selepas shopping bersama keluarga ataupun pulang dari kelas tuisyen.

Saya kurang pasti nama kedai ketika itu, tetapi nama kedai ketika saya menjamu selera baru-baru ini (Julai 2016) ialah Kasim nasi kandar.


Lokasi: Terletak berdepan dengan supermarket paling lama iaitu GAMA Supermarket (ketika blog ini ditulis, ia masih wujud) dan betul-betul di simpang traffic-light antara paling sibuk di Penang.



Untuk kali ini, saya makan nasi + telur sotong (di kuala lumpur tak akan ada ni) dan daging masak kari kicap (pun susah nak sedap di KL). Air pula ialah teh halia. Jumlah yang saya kena bayar ialah RM11.20 .. agak ok kerana adanya telur sotong tu.

Kedudukannya yang berada di tengah kawasan lampu isyarat menyebabkan sukar untuk yang berkenderaan untuk singgah menjamu selera melainkan anda menggunakan pengangkutan awam yang mudah didapati di sini.

Lauk pauknya tidak sebanyak di restoran di KL, tetapi karinya masih lagi lebih baik dari KL.

Monday, March 2, 2015

Western Style di Laman Grill


Gambar hanyalah ilustrasi AI sahaja

Beberapa minggu lepas, aku berkesempatan menikmati makanan barat di salah satu cawangan Laman Grill yang dimiliki oleh Juri Masterchef Malaysia. Terletak di Seksyen 13 Shah Alam, lokasinya agak selesa dengan kawasan parking sama ada diluar mahupun dibawah bangunan yang mencukupi. Tidak sukar untuk ke-sini.

Lokasi:


Apa yang difahamkan, untuk ke restoran ini, pengunjung perlu memastikan masa yang dirancang cukup sesuai kerana jika datang pada masa puncak, pastinya sukar mendapat tempat disebabkan kawasan yang agak 'limited'.

Makanan yang aku pilih ialah Australian Baby Lamb.

Memang sedap dan memuaskan hati. Berbaloi dengan harganya

p/s: Ini sejarah lama pada tahun 2015. Baru update :)

Monday, September 1, 2014

Mee Tarik Warisan Asli


Salam sejahtera pada peminat dan pencinta makanan serta pelahap semua :). Kali ini saya nak bawakan anda ke satu lagi restoran yang saya jamin, InsyaAllah, mutu serta kesedapan makanan yang dihasilkan cukup menarik dan menyelerakan.

Mungkin agak terlewat, tetapi harapnya, pada yang belum lagi menikmatinya, boleh pergi mencuba andai diberi peluang.

Restoran yang ingin saya kongsi kali ini ialah Mee Tarik Warisan Asli. Pada namanya, tidak ada yang terfikir bahawa ini adalah tradisi makanan yang dibawah terus dari negara China, atau ada yang ragu-ragu kerana kebanyakkan restoran cina-muslim yang bercambah di Malaysia ini tidak menyajikan makanan yang dapat diterima secara total oleh masyarakat Malaysia amnya.

Saya pada mulanya agak ragu-ragu juga. Soalan pertama saya ajukan ialah; Sedap ke? kerana pengalaman menikmati di restoran cina-muslim tidak bagus. Soalan itu bertambah kuat bersama keraguan yang ada apabila pelayan yang datang bertanyakan menu ialah warga asing @ Bangla (or pakistan or sepertinya).

Namun, kerana guarantee dari rakan-rakan, saya mencuba dan saya mencuba mee tarik special sauce bersama nasi goreng telur (order dua sebab risau mee tak sedap). Rakan-rakan yang pergi mencuba pelbagai mee tarik yang ada; antaranya mee tarik sos cendawan, mee tarik daging, daging kambing cucuk (apa nama pun saya tak reti).

Saya juga sempat bersua dengan Abg Hassan (mungkin pemiliknya) yang bersiap sedia untuk ke lokasi lain. Dan setelah bersua, saya yakin bahawa ini merupakan satu restoran yang masakannya dibawa terus dari negara China tanpa sebarang perubahan rasa mahupun asimilasi mengikut penduduk setempat. Dan ini merupakan intipati kepada keenakkannya.

Secara ringkasannya:
1. Lokasi
Mee Tarik Warisan Asli sudah pun membuka 4 cawangan dan cawangan yang saya kunjungi ialah cawangan ke empat yang terletak di Padang Jawa, Selangor berhampiran Puspakom (di deretan kedai baru).

View Mee Tarik Warisan Asli in a larger map
Yang pasti, untuk pergi ke sana tidak sukar. Cuma, andai anda pergi ketika waktu puncak, pasti anda merana kerana jalan yang agak sempit dan sesak.

Namun, memandangkan kawasan ini masih baru, maka, kawasan letak keretanya masih banyak kosong. Mungkin bila ruang niaga semua dipenuhi, mencari kawasan letak kereta akan jadi masalah. Untuk lokasi, saya beri 3.5/5

2. Persekitaran
Bagi persekitaran pula, keadaan kedai cukup bersih dan selesa (walaupun adakalanya dibahagian tepi dipenuhi asap perokok tegar hingga mengganggu deria rasa dan bau pelanggan lain). Cuma, saya harap agar restoran ini menyediakan 2 ruang (satu ruang aircond) pada masa akan datang (kalau boleh 2 tingkat).
Walau bagaimana pun, untuk situasi yang kondusif ini, saya berikan 4/5 pada pemiliknya.

3. Citarasa
Mee tarik yang di hasil kan di restoran ini dibuat secara manual (lihat video pembuatan di bawah). Proses nya agak rumit dan oleh itu, pelangan perlu bersabar menanti mee yang di pesan. Namun, penantian itu sememangnya berbaloi. Seperti yang saya katakan, saya memesan Mee Tarik Special Sauce. Dan rupanya seperti dibawah. Macam spagetti ... dan rasa awalnya pun macam spagetti juga. Agak kenyal tetapi sedap. Suapan pertama membuatkan saya rasa tidak mahu berhenti :).

Bagaimanapun, untuk nasi gorengnya, agak biasa dan perlu sedikit tambahan perasa untuk menikmatinya.

Walau bagaimana pun, untuk keseluruhan citarasa, saya berikan 4/5. Jika anda ke sini, pastikan hanya mencuba mee tariknya, atau ada pesan masakan lain (seperti kambing cucuk, dll) jika memilih nasi goreng yang ada didalam menu.











4. Harga
Tidak perlu cakap banyak. Harga memang berbaloi :)

Kesimpulannya:
Rugi kalau tak cuba :)





Sebahagian dari pelanggan yang juga rakan ketika mencuba :)








Video mee tarik di buat :)

Tuesday, January 21, 2014

Menikmati Masakan Padang/Minang di Restoran Garuda

Pernah makan masakan minang? Banyak juga kedai makan kecil yang kononnya menjual makanan minang/padang, namun, bagi aku, tidak semua yang rasanya adalah seperti masakan minang/padang. Dalam banyak restoran, aku rasa restoran ini, iaitu Restoran Garuda merupakan yang terbaik dalam menyajikan masakan minang/padang.
Restoran Grand Garuda, Kampung Baru, KL

Pertama kali menikmati juadah orang minang/padang di Restoran Garuda ini ialah ketika aku ke Jakarta atas urusan kerja. Atas keenakannya, maka aku tercari-cari cawangannya di Malaysia, kut-kut ada. Akhirnya, pertengahan tahun lepas, aku nampak cawangannya di Kampung Baru, KL. Dan setelah beberapa lama, akhirnya, aku sempat juga singgah di restoran tersebut, iaitu pada awal bulan 12 tahun lepas.

Lokasi
Terletak di tengah kota Kuala Lumpur dan di kawasan yang paling lama serta antara kawasan strategi, Restoran Garuda ini merupakan satu dari 3 cawangannya di Malaysia. Satu lagi cawangan yang aku tahu ialah di Shah Alam.


View Larger Map

 Jika ingin ke sini, boleh ambil bas di kota raya yang menuju ke arah lembah keramat dan turun di hadapan Hospital Kuala Lumpur. Terletak di Jalan Raja Abdullah dan berhadapan dengan pusat servis Proton.

Jangan risau mengenai parking kerana Restoran ini menyediakan lot parking yang banyak. Cukup selesa dan mudah ke sini. Dan kerana itu, aku beri 5/5.

Citarasa
Namun, ada sedikit perbezaan antara cawangan di KL dan di Jakarta. Bagi aku, Restoran Garuda di Jakarta masih terbaik dari segi rasa dan jumlah lauk-pauk. Di sini, pilihan lauk-pauknya agak terhad, yakni lebih kurang 30 aneka pilihan berbanding di Jakarta yang ada lebih dari itu termasuk otak lembu dan hati ayam.

Walau bagaimana pun, dari segi rasa, aku rasa masih ok dan mampu buatkan aku makan tambah beberapa kali. Aku juga sempat nikmati tapai pulut, dan rempeyek yang enak (siap beli balik lagi tu).

Persekitaran
Secara total, kawasan tersebut memang bersih dan selesa (ber aircond). Malah, meja juga agak besar dan selesa untuk keluarga besar menjamu selera.

Harga
Untuk harga pula, aku rasa cukup berbaloi. Untuk juadah aku kali ini, aku ambil Jering masak lemak, ikan bilis besar goreng cili, Ayam goreng biasa dan urat masak gulai minang. Sementara air pula, aku pilih air teh O ais bersama laici dan anak aku pula pilih sirap laici. Untuk 4 orang makan, serta rempeyek 5 bungkus dan emping goreng 5 bungkus, jumlah yang aku kena bayar hanyalah RM 68 sahaja.

Kesimpulannya
Memang berbaloi dari segi harga untuk satu keluarga menjamu selera di sini. Namun, untuk 100% masakan minang/padang yang autentik, aku cadangkan naik Air Asia ke Jakarta :) kerana di sana lebih banyak pilihan.




Pelik tgk jering.. hehehe
Urrpppp... licin
Makan


Makan..






Nak tau lebih .. boleh tengok kat sini http://garuda.my/

Kongsi dengan kawan bro

Memaparkan senarai makanan, warung, lokasi, dan pelbagai lagi berkaitan dengan makanan mengikut citarasa dan pilihan kebanyakan orang biasa di Malaysia.