RSS
Showing posts with label Kedai Makan. Show all posts
Showing posts with label Kedai Makan. Show all posts

Thursday, February 27, 2025

Padii Cafe Sungai Layar

Aku nampak kedai ni antara beberapa kedai yang menarik pada mata aku ketika dalam perjalanan ke MADAD. Makanya, lepas check out, dan sebelum ke kenduri kahwin, aku singgah kedai tu untuk nikmati. Benda yang menarik perhatian aku katanya ada gulai ikan sembilang.

Lokasi kedai terletak di Sungai Layar, Sungai Petani, Kedah.



Cantik pemandangan dia. Cuma kalau hujan je problem sikit. Parking tak banyak. Memang terasa seperti makan kat pangkin tepi sawah la. Macam kat kampung dulu-dulu la.



Cuma aku kecewa sikit sebab gulai ikan sembilang tak dak. Yang ada gulai lain. Ikan sembilang bakar ada.
Lauk dia memang banyak la. Ulam-ulaman pun pelbagai. 


Aku ambil ikan sembilang bakar dengan ayaq asam. Nasi bersama masak lemak putih sayur pucuk, kerabu togey, tauhu jepun, sambal sotong gemuk, dan tak lupa ulam-ulaman bersama sambal belacan. Ayag pula aku ambil ayaq lemon kosong (nak cuci balik apa yang aku melantak ni.. hahaha tiber)




Lepas tu aku duduk la penjuru tepi, ala-ala macam tepi bendang, kat ban atau tali ayaq dia. Tengok burung-burung dan hijau padai (kalau padi menguning lagi cantik). Kelas suasana kampung.



Semua yang aku makan ni, cecah dlm RM38.

Kesimpulannya
1. Suasana memang menggamit kenangan. Pada yang rindu makan kat kampung, boleh makan sini. 
2. Makanan memang sedap. Sambal belacan dan ayaq asam dia memang pior dan puas hati. Bukan macam sambal belacan dan ayaq asam kat KL dan kebanyakkan kedai yang ceroi @ cair nak mampuih. Ni memang pekat dan likat habaq hang.
3. Sotong dia perfecto. Ikan sembilang dia pun kena dengan ayaq asam dan dibakar cantik.

Makanya, dari segi harga, memang berbaloi la makan sini. Boleh ulang makan.

Cuma kelemahan dia ialah parking limited dan kalau hujan, tempat makan tu kurang sesuai. Apa pun, memang berbaloi la.





Thursday, February 6, 2025

Pak Ayob Roti Canai, Sungai Petani, Kedah

Hari ke-3 kat Kedah, aku cari roti canai melayu. Kalau roti canai mamak, kat lembah klang ni berlambak.

Berdasarkan Google Maps pagi tu, ada beberapa kedai roti canai yang dicadangkan dan aku pilih Pak Ayob Roti Canai sebab masa aku google tu, dia paling hampir dengan tempat aku menginap serta dapat lebih dari 4 bintang kat review.

Lokasi kedai terletak di sini

Aku cuba

1. Roti canai kosong

2. Nasi lemak separuh, Sambal Sotong (satu), dan satu telur mata.

3. Teh Tarik kurang manis (leceh la orang kedah tak dak Teh C kosong)

Semua dalam RM7.50



Berdasarkan tekak aku

1. Roti canai dia biasa-biasa je. Kuah dal pun biasa je. Tiada yang istimewa.

2. Nasi lemaknya macam nasi putih. Santan tak terasa. Tiada wangi daun pandan dan bau serai. Sambal dia pun biasa je.

3. Teh tarik orang kedah ni memang manis sokmo

Kesimpulan

Kalau tak ada tempat lain nak makan roti canai, boleh la singgah mai. Kalau bagi aku, lebih baik aku singgah Hussain Nasi Dalca dekat simpang sebelum ke Taman Zamrud tu.

Burger No. 2 Paling Sedap - Hmmm

Baru-baru ni aku balik Kedah dan lepak kat Sungai Petani. Malam hari ke-2 tu aku ambil keputusan untuk mencuba kedai Burger No. 2 Paling Sedap yang terletak di Kampung Telok, Sungai Petani, Kedah.


Kenapa aku nak try? Dah banyak kali lalu kat tiktok aku komen dari influencer2 yang burger dia sedap. 

Jadi aku decide untuk cuba. Menu pilihan aku ialah
1. Burger Tuah
2. Kentang Goreng Spicy
3. Air Asam Boi (aku nak tanpa gula)






Jumlah kena bayar ialah RM24.80

Kawasan sekitar kalau di waktu matahari turun, mungkin menarik kerana di kelilingi kawasan tanaman padi. Tapi, kalau datang waktu malam, memang bosan la. gelap gelita wei.



Pendapat aku berdasarkan tekak aku

1. Kentang goreng dia sejuk dan dah lembik. Macam dah lama masak. Sepatutnya dia orang tak bagi kat pelanggan pun. Lepas tu rasa spicy dia tak dak langsung.
2. Burger dia pun dah sejuk. Rasa dah lama masak juga. Dan terlalu banyak sos mayonis. Sos cili kurang. Tak menarik dan tak sedap bagi tekak aku.
3. Air asam boi dia masih manis walaupun aku dah minta tanpa gula.

Kesimpulan

Mungkin kalau ada penambah-baikan, atau aku dah lupa pasal first time ni, aku akan singgah. Kalau tak, baik aku pi burger tepi jalan je.




Wednesday, December 23, 2015

Nasi Kerabu Kambing Bakar Bob Lokman

Credit to yang kongsi gambar di four-square
Ha.. kali ni aku nak share satu lagi tempat makan untuk penggemar makanan dari pantai timur. Terletak di Kampung Melayu Kundang, tidak jauh dari tasik biru dan dekat dengan persimpangan kuang-ijok-rahman putra-kundang.

Kedai makan tu namanya Bok Lokman & Keluarga. Kalau pergi, tak yah cari bob lokman, dia selalunya sibuk di bahagian dapur. Tapi anak dia ada kat depan jaga kewangan :).

Apa menu utama? Tak lain tak bukan Nasi Kerabu. Dan yang specialnya, ada kambing bakar. Memang manis lah dagingnya. Selain dari kambing bakar, ada ayam percik, ayam kampung goreng panas, ikan gulai, ikan goreng dan ayam gulai.

Selain dari menu utama ni, ada Laksam, nasi goreng dan nasi lemak. Kalau nak selesa, jangan datang awal pagi. Memang penuh dan kambing belum masak. Datang dalam pukul 9pg macam tu.

Kedai ni bukan dari pukul 7.30pg sampai 2.30 petang katanya dan tutup pada hari jumaat.

Cara nak pergi?
1. Kalau dari KL, masuk ke Latar dan keluar pada exit Kuang/Kundang. Lepas plaza tol, jumpa traffic-light, ambil kiri dan terus je sehingga melepasi tasik biru. Dari tasik biru tu, dalam 1km akan nampak sebelah kiri Kedai Bob Lokman (hati-hati sebab tak ada papan tanda besar). Depan kedai dia ada satu lot kedai.
2. Kalau ikut sungai buloh. Terus ikut ke arah ijok sehingga jumpa simpang ke kanan menuju Kuang. Masuk simpang tu. Terus hingga sampai di persimpangan jalan yang disebelah dia ada stesyen minyak BHP (kalau tak silap). Masuk kanan dan dalam 500 meter akan nampak kedai sebelah kanan.




Dari segi keselesaan, parking agak terhad. Dan kalau datang awal pagi, memang penuh lah tak cukup tempat. Kalau datang lewat, lauk tak banyak dah.

Dari segi kualiti makan. Saya cuma cuba nasi kerabu dan setakat ni, Alhamdulillah, memang sedap. Dan harga pun berpatutan dan berbaloi.

Kalau pergi, jangan lupa beli bawa balik kuih bangkit-cheese (sedap bro).

Orait... itu je...

Thursday, September 18, 2014

Cendol Pak Akob

Haaaa dah penat berjalan sekitar Shah Alam atau selepas solat Jumaat atau saja nak try cendol kat shah alam ni.. pasti kita nak yang best kan? yang sekali rasa, nak pergi lagi.

Jadi, kat mana yang ada cendol yang sedap di Shah Alam ini... So saya nak berkongsi satu tempat yang pasti sesiapa sahaja yang singgah, pasti tidak akan menyesal.

Terletak di hadapan Masjid Seksyen 16, Shah Alam, berada betul-betul bersebelahan dengan hentian bas di bawah jejantas yang merupakan antara laluan utama ke padang jawa melalui jalan dalam serta sibuk dengan kenderaan besar.



Cendol yang dijual agak variasi:

  • Cendol Biasa
  • Cendol Pulut
  • Cendol Tapai

dan beberapa variasi lagi dengan harga yang berpatutan.

Selain dari cendol, karipap (jika panas), memang kaw-kaw la sedap.

Apa yang pasti, jika ada berada sekitar seksyen 16 Shah Alam, bolehlah singgah menghilangkan dahaga cendol Pak Akob. Pasti tidak menyesal :).

Cendol Tapai yang aku makan... lazat bro
Satu-satunya masalah ialah mencari parking yang sesuai kerana ia terletak di tepi jalan. Melainkan sanggup meletak kereta di kawasan masjid berhampiran (kalau tak malu lah) atau berhenti di tepi jalan (dan memastikan tidak ambil masa lama untuk nikmati cendol).

Apa pun... saya syorkan anda cuba :).



Tuesday, September 16, 2014

Makan Selera Orang Lama @ 72 Heritage Cafe

Bulan lepas aku berkesempatan untuk singgah makan di sebuah kafe yang cukup antik (melalui hiasannya). Dengan beca terletak diluar dan susun atur serta hiasan yang berkonsepkan lama, cukup 'relax' untuk menikmati hidangan, baik makan tengahari mahupun petang.

Owner ambil order




Kafe ini menghidangkan menu yang berlainan setiap hari (namun tetap ada menu utama yang sama). Kebetulan pada hari aku singgah, ada kari ayam dan sejenis kuih orang cina.
Suasana yang santai



















Aku pekena nasi butter chicken dan air mata lime light (buat sendiri katanya). Kawan aku order sambal petai udang yang cukup sedap (udangnya pun besar).


Tak banyak aku boleh katakan... tetapi, jika anda berada di kota kemuning (main golf atau saja jalan-jalan), bolehlah singgah di sini :). Tapi pastikan datang awal kerana menu harian selalunya habis sebelum petang.


Istimewa hari itu
Air lime light homemade
 Dari segi harga, berbaloilah.







Kuih orang cina.. sedap gak ni
Nasi goreng butter chicken




Monday, September 1, 2014

Mee Tarik Warisan Asli


Salam sejahtera pada peminat dan pencinta makanan serta pelahap semua :). Kali ini saya nak bawakan anda ke satu lagi restoran yang saya jamin, InsyaAllah, mutu serta kesedapan makanan yang dihasilkan cukup menarik dan menyelerakan.

Mungkin agak terlewat, tetapi harapnya, pada yang belum lagi menikmatinya, boleh pergi mencuba andai diberi peluang.

Restoran yang ingin saya kongsi kali ini ialah Mee Tarik Warisan Asli. Pada namanya, tidak ada yang terfikir bahawa ini adalah tradisi makanan yang dibawah terus dari negara China, atau ada yang ragu-ragu kerana kebanyakkan restoran cina-muslim yang bercambah di Malaysia ini tidak menyajikan makanan yang dapat diterima secara total oleh masyarakat Malaysia amnya.

Saya pada mulanya agak ragu-ragu juga. Soalan pertama saya ajukan ialah; Sedap ke? kerana pengalaman menikmati di restoran cina-muslim tidak bagus. Soalan itu bertambah kuat bersama keraguan yang ada apabila pelayan yang datang bertanyakan menu ialah warga asing @ Bangla (or pakistan or sepertinya).

Namun, kerana guarantee dari rakan-rakan, saya mencuba dan saya mencuba mee tarik special sauce bersama nasi goreng telur (order dua sebab risau mee tak sedap). Rakan-rakan yang pergi mencuba pelbagai mee tarik yang ada; antaranya mee tarik sos cendawan, mee tarik daging, daging kambing cucuk (apa nama pun saya tak reti).

Saya juga sempat bersua dengan Abg Hassan (mungkin pemiliknya) yang bersiap sedia untuk ke lokasi lain. Dan setelah bersua, saya yakin bahawa ini merupakan satu restoran yang masakannya dibawa terus dari negara China tanpa sebarang perubahan rasa mahupun asimilasi mengikut penduduk setempat. Dan ini merupakan intipati kepada keenakkannya.

Secara ringkasannya:
1. Lokasi
Mee Tarik Warisan Asli sudah pun membuka 4 cawangan dan cawangan yang saya kunjungi ialah cawangan ke empat yang terletak di Padang Jawa, Selangor berhampiran Puspakom (di deretan kedai baru).

View Mee Tarik Warisan Asli in a larger map
Yang pasti, untuk pergi ke sana tidak sukar. Cuma, andai anda pergi ketika waktu puncak, pasti anda merana kerana jalan yang agak sempit dan sesak.

Namun, memandangkan kawasan ini masih baru, maka, kawasan letak keretanya masih banyak kosong. Mungkin bila ruang niaga semua dipenuhi, mencari kawasan letak kereta akan jadi masalah. Untuk lokasi, saya beri 3.5/5

2. Persekitaran
Bagi persekitaran pula, keadaan kedai cukup bersih dan selesa (walaupun adakalanya dibahagian tepi dipenuhi asap perokok tegar hingga mengganggu deria rasa dan bau pelanggan lain). Cuma, saya harap agar restoran ini menyediakan 2 ruang (satu ruang aircond) pada masa akan datang (kalau boleh 2 tingkat).
Walau bagaimana pun, untuk situasi yang kondusif ini, saya berikan 4/5 pada pemiliknya.

3. Citarasa
Mee tarik yang di hasil kan di restoran ini dibuat secara manual (lihat video pembuatan di bawah). Proses nya agak rumit dan oleh itu, pelangan perlu bersabar menanti mee yang di pesan. Namun, penantian itu sememangnya berbaloi. Seperti yang saya katakan, saya memesan Mee Tarik Special Sauce. Dan rupanya seperti dibawah. Macam spagetti ... dan rasa awalnya pun macam spagetti juga. Agak kenyal tetapi sedap. Suapan pertama membuatkan saya rasa tidak mahu berhenti :).

Bagaimanapun, untuk nasi gorengnya, agak biasa dan perlu sedikit tambahan perasa untuk menikmatinya.

Walau bagaimana pun, untuk keseluruhan citarasa, saya berikan 4/5. Jika anda ke sini, pastikan hanya mencuba mee tariknya, atau ada pesan masakan lain (seperti kambing cucuk, dll) jika memilih nasi goreng yang ada didalam menu.











4. Harga
Tidak perlu cakap banyak. Harga memang berbaloi :)

Kesimpulannya:
Rugi kalau tak cuba :)





Sebahagian dari pelanggan yang juga rakan ketika mencuba :)








Video mee tarik di buat :)

Tuesday, January 21, 2014

Menikmati Masakan Padang/Minang di Restoran Garuda

Pernah makan masakan minang? Banyak juga kedai makan kecil yang kononnya menjual makanan minang/padang, namun, bagi aku, tidak semua yang rasanya adalah seperti masakan minang/padang. Dalam banyak restoran, aku rasa restoran ini, iaitu Restoran Garuda merupakan yang terbaik dalam menyajikan masakan minang/padang.
Restoran Grand Garuda, Kampung Baru, KL

Pertama kali menikmati juadah orang minang/padang di Restoran Garuda ini ialah ketika aku ke Jakarta atas urusan kerja. Atas keenakannya, maka aku tercari-cari cawangannya di Malaysia, kut-kut ada. Akhirnya, pertengahan tahun lepas, aku nampak cawangannya di Kampung Baru, KL. Dan setelah beberapa lama, akhirnya, aku sempat juga singgah di restoran tersebut, iaitu pada awal bulan 12 tahun lepas.

Lokasi
Terletak di tengah kota Kuala Lumpur dan di kawasan yang paling lama serta antara kawasan strategi, Restoran Garuda ini merupakan satu dari 3 cawangannya di Malaysia. Satu lagi cawangan yang aku tahu ialah di Shah Alam.


View Larger Map

 Jika ingin ke sini, boleh ambil bas di kota raya yang menuju ke arah lembah keramat dan turun di hadapan Hospital Kuala Lumpur. Terletak di Jalan Raja Abdullah dan berhadapan dengan pusat servis Proton.

Jangan risau mengenai parking kerana Restoran ini menyediakan lot parking yang banyak. Cukup selesa dan mudah ke sini. Dan kerana itu, aku beri 5/5.

Citarasa
Namun, ada sedikit perbezaan antara cawangan di KL dan di Jakarta. Bagi aku, Restoran Garuda di Jakarta masih terbaik dari segi rasa dan jumlah lauk-pauk. Di sini, pilihan lauk-pauknya agak terhad, yakni lebih kurang 30 aneka pilihan berbanding di Jakarta yang ada lebih dari itu termasuk otak lembu dan hati ayam.

Walau bagaimana pun, dari segi rasa, aku rasa masih ok dan mampu buatkan aku makan tambah beberapa kali. Aku juga sempat nikmati tapai pulut, dan rempeyek yang enak (siap beli balik lagi tu).

Persekitaran
Secara total, kawasan tersebut memang bersih dan selesa (ber aircond). Malah, meja juga agak besar dan selesa untuk keluarga besar menjamu selera.

Harga
Untuk harga pula, aku rasa cukup berbaloi. Untuk juadah aku kali ini, aku ambil Jering masak lemak, ikan bilis besar goreng cili, Ayam goreng biasa dan urat masak gulai minang. Sementara air pula, aku pilih air teh O ais bersama laici dan anak aku pula pilih sirap laici. Untuk 4 orang makan, serta rempeyek 5 bungkus dan emping goreng 5 bungkus, jumlah yang aku kena bayar hanyalah RM 68 sahaja.

Kesimpulannya
Memang berbaloi dari segi harga untuk satu keluarga menjamu selera di sini. Namun, untuk 100% masakan minang/padang yang autentik, aku cadangkan naik Air Asia ke Jakarta :) kerana di sana lebih banyak pilihan.




Pelik tgk jering.. hehehe
Urrpppp... licin
Makan


Makan..






Nak tau lebih .. boleh tengok kat sini http://garuda.my/

Kongsi dengan kawan bro

Memaparkan senarai makanan, warung, lokasi, dan pelbagai lagi berkaitan dengan makanan mengikut citarasa dan pilihan kebanyakan orang biasa di Malaysia.