RSS
Showing posts with label Selangor. Show all posts
Showing posts with label Selangor. Show all posts

Wednesday, December 23, 2015

Nasi Kerabu Kambing Bakar Bob Lokman

Credit to yang kongsi gambar di four-square
Ha.. kali ni aku nak share satu lagi tempat makan untuk penggemar makanan dari pantai timur. Terletak di Kampung Melayu Kundang, tidak jauh dari tasik biru dan dekat dengan persimpangan kuang-ijok-rahman putra-kundang.

Kedai makan tu namanya Bok Lokman & Keluarga. Kalau pergi, tak yah cari bob lokman, dia selalunya sibuk di bahagian dapur. Tapi anak dia ada kat depan jaga kewangan :).

Apa menu utama? Tak lain tak bukan Nasi Kerabu. Dan yang specialnya, ada kambing bakar. Memang manis lah dagingnya. Selain dari kambing bakar, ada ayam percik, ayam kampung goreng panas, ikan gulai, ikan goreng dan ayam gulai.

Selain dari menu utama ni, ada Laksam, nasi goreng dan nasi lemak. Kalau nak selesa, jangan datang awal pagi. Memang penuh dan kambing belum masak. Datang dalam pukul 9pg macam tu.

Kedai ni bukan dari pukul 7.30pg sampai 2.30 petang katanya dan tutup pada hari jumaat.

Cara nak pergi?
1. Kalau dari KL, masuk ke Latar dan keluar pada exit Kuang/Kundang. Lepas plaza tol, jumpa traffic-light, ambil kiri dan terus je sehingga melepasi tasik biru. Dari tasik biru tu, dalam 1km akan nampak sebelah kiri Kedai Bob Lokman (hati-hati sebab tak ada papan tanda besar). Depan kedai dia ada satu lot kedai.
2. Kalau ikut sungai buloh. Terus ikut ke arah ijok sehingga jumpa simpang ke kanan menuju Kuang. Masuk simpang tu. Terus hingga sampai di persimpangan jalan yang disebelah dia ada stesyen minyak BHP (kalau tak silap). Masuk kanan dan dalam 500 meter akan nampak kedai sebelah kanan.




Dari segi keselesaan, parking agak terhad. Dan kalau datang awal pagi, memang penuh lah tak cukup tempat. Kalau datang lewat, lauk tak banyak dah.

Dari segi kualiti makan. Saya cuma cuba nasi kerabu dan setakat ni, Alhamdulillah, memang sedap. Dan harga pun berpatutan dan berbaloi.

Kalau pergi, jangan lupa beli bawa balik kuih bangkit-cheese (sedap bro).

Orait... itu je...

Monday, March 2, 2015

Western Style di Laman Grill


Gambar hanyalah ilustrasi AI sahaja

Beberapa minggu lepas, aku berkesempatan menikmati makanan barat di salah satu cawangan Laman Grill yang dimiliki oleh Juri Masterchef Malaysia. Terletak di Seksyen 13 Shah Alam, lokasinya agak selesa dengan kawasan parking sama ada diluar mahupun dibawah bangunan yang mencukupi. Tidak sukar untuk ke-sini.

Lokasi:


Apa yang difahamkan, untuk ke restoran ini, pengunjung perlu memastikan masa yang dirancang cukup sesuai kerana jika datang pada masa puncak, pastinya sukar mendapat tempat disebabkan kawasan yang agak 'limited'.

Makanan yang aku pilih ialah Australian Baby Lamb.

Memang sedap dan memuaskan hati. Berbaloi dengan harganya

p/s: Ini sejarah lama pada tahun 2015. Baru update :)

Sunday, September 21, 2014

Vanggey Nasi Kandar - Dari Ipoh ke Shah Alam

Vanggey kat dalam
Kat lembah klang ni banyak juga kedai nasi kandar.. namun bukan semua menyajikan nasi kandar yang betul-betul menepati cita rasa orang utara. Hanya beberapa kedai yang dapat aku kenal pasti dan antaranya ada yang aku telah nikmati dan syorkan seperti Zainul Nasi Kandar. Kebanyakkan nasi kandar yang ada hanya bersandarkan kepada kari yang adakalanya terasa kurang sengat.

Kali ini, aku hendak perkenalkan satu lagi restoran nasi kandar yang pasti anda tidak akan menyesal menikmatinya; itu pun jika anda merupakan pengemar citarasa utara yang asli. Nasi Kandar Vanggey merupakan satu entiti yang cukup popular di Ipoh dan telah mempunyai beberapa cawangan sekitar Perak. Juga pernah famous dek kerana dikatakan mengamalkan cara memasak yang tidak bersih, yang akhirnya dibuktikan tidak benar.

Salah satu kari yang ada
Bagai mencuba nasib di kota shah alam yang citarasa orang lembah klang ni cukup berbeda, pengurusan Vanggey Nasi Kandar telah membuka satu cawangan di Shah Alam. Terletak di belakang hotel De-Palma Shah Alam, bersebelahan SpeedMart Seksyen 19, cawangan ini telah mula beroperasi sejak 3 minggu lepas (awal September 2014) dan aku antara orang terawal menikmatinya setelah dok tunggu pembukaannya sejak bulan puasa lagi :).

Dan ternyata, penantian itu cukup berbaloi. Dengan menu mudah (walaupun tidak sebanyak menu nasi kandar di penang), yakni ayam goreng berempah special, bersama sayur goreng dan sambal giling kelapa parut, dan diadun dengan 3 jenis kari, cukup menyelerakan.

Dan pelengkap kepada menu aku pada hari itu ialah segelas teh tarik. Namun, untuk membandingkan teh tarik yang ummph, aku rasa masih jauh berbeda dengan teh tarik yang aku nikmati di Penang suatu ketika dahulu.

Kesimpulan aku:
1. Lokasi
Agak terselindung dan parkir yang terhad, namun, buat pengemar nasi kandar dan kari kaw, ia bukan satu masalah kerana masih ada parkir berhampiran walaupun terpaksa berjalan.

2. Citarasa
Karinya cukup kaw dan sesuai pada citarasa aku yang ber'lidah'kan orang utara. Bersama dengan lauk pauk, walaupun tidak sebanyak di Penang seperti di Line-Clear Nasi Kandar, namun, sudah memadai bagi pengemar kari seperti aku.


3. Keadaan sekitar
Mungkin kerana restoran ini masih berusia sebulan (masa aku pergi), maka, keadaan restoran ini masih ditahap 'OK'. Susunan mejanya masih dikira mencukupi, tetapi, aku dapat rasakan bahawa ini tidak akan berkekalan andai kata ia terus menyajikan rasa kari sebegini. Pastinya perlu diperbesarkan lagi.



4. Harga
Dengan ayam berempah berserta sayur dan teh tarik, RM7.40 pada aku, agak mahal kerana saiz ayamnya yang kecil. Harga yang munasabah bagi aku untuk itu sepatutnya dalam lingkungan RM6.50. Namun, ia tidaklah terlalu mahal untuk aku nikmati setiap minggu. :)

Secara keseluruhannya. Ayuh cubalah :)

Tuesday, September 16, 2014

Makan Selera Orang Lama @ 72 Heritage Cafe

Bulan lepas aku berkesempatan untuk singgah makan di sebuah kafe yang cukup antik (melalui hiasannya). Dengan beca terletak diluar dan susun atur serta hiasan yang berkonsepkan lama, cukup 'relax' untuk menikmati hidangan, baik makan tengahari mahupun petang.

Owner ambil order




Kafe ini menghidangkan menu yang berlainan setiap hari (namun tetap ada menu utama yang sama). Kebetulan pada hari aku singgah, ada kari ayam dan sejenis kuih orang cina.
Suasana yang santai



















Aku pekena nasi butter chicken dan air mata lime light (buat sendiri katanya). Kawan aku order sambal petai udang yang cukup sedap (udangnya pun besar).


Tak banyak aku boleh katakan... tetapi, jika anda berada di kota kemuning (main golf atau saja jalan-jalan), bolehlah singgah di sini :). Tapi pastikan datang awal kerana menu harian selalunya habis sebelum petang.


Istimewa hari itu
Air lime light homemade
 Dari segi harga, berbaloilah.







Kuih orang cina.. sedap gak ni
Nasi goreng butter chicken




Monday, September 1, 2014

Mee Tarik Warisan Asli


Salam sejahtera pada peminat dan pencinta makanan serta pelahap semua :). Kali ini saya nak bawakan anda ke satu lagi restoran yang saya jamin, InsyaAllah, mutu serta kesedapan makanan yang dihasilkan cukup menarik dan menyelerakan.

Mungkin agak terlewat, tetapi harapnya, pada yang belum lagi menikmatinya, boleh pergi mencuba andai diberi peluang.

Restoran yang ingin saya kongsi kali ini ialah Mee Tarik Warisan Asli. Pada namanya, tidak ada yang terfikir bahawa ini adalah tradisi makanan yang dibawah terus dari negara China, atau ada yang ragu-ragu kerana kebanyakkan restoran cina-muslim yang bercambah di Malaysia ini tidak menyajikan makanan yang dapat diterima secara total oleh masyarakat Malaysia amnya.

Saya pada mulanya agak ragu-ragu juga. Soalan pertama saya ajukan ialah; Sedap ke? kerana pengalaman menikmati di restoran cina-muslim tidak bagus. Soalan itu bertambah kuat bersama keraguan yang ada apabila pelayan yang datang bertanyakan menu ialah warga asing @ Bangla (or pakistan or sepertinya).

Namun, kerana guarantee dari rakan-rakan, saya mencuba dan saya mencuba mee tarik special sauce bersama nasi goreng telur (order dua sebab risau mee tak sedap). Rakan-rakan yang pergi mencuba pelbagai mee tarik yang ada; antaranya mee tarik sos cendawan, mee tarik daging, daging kambing cucuk (apa nama pun saya tak reti).

Saya juga sempat bersua dengan Abg Hassan (mungkin pemiliknya) yang bersiap sedia untuk ke lokasi lain. Dan setelah bersua, saya yakin bahawa ini merupakan satu restoran yang masakannya dibawa terus dari negara China tanpa sebarang perubahan rasa mahupun asimilasi mengikut penduduk setempat. Dan ini merupakan intipati kepada keenakkannya.

Secara ringkasannya:
1. Lokasi
Mee Tarik Warisan Asli sudah pun membuka 4 cawangan dan cawangan yang saya kunjungi ialah cawangan ke empat yang terletak di Padang Jawa, Selangor berhampiran Puspakom (di deretan kedai baru).

View Mee Tarik Warisan Asli in a larger map
Yang pasti, untuk pergi ke sana tidak sukar. Cuma, andai anda pergi ketika waktu puncak, pasti anda merana kerana jalan yang agak sempit dan sesak.

Namun, memandangkan kawasan ini masih baru, maka, kawasan letak keretanya masih banyak kosong. Mungkin bila ruang niaga semua dipenuhi, mencari kawasan letak kereta akan jadi masalah. Untuk lokasi, saya beri 3.5/5

2. Persekitaran
Bagi persekitaran pula, keadaan kedai cukup bersih dan selesa (walaupun adakalanya dibahagian tepi dipenuhi asap perokok tegar hingga mengganggu deria rasa dan bau pelanggan lain). Cuma, saya harap agar restoran ini menyediakan 2 ruang (satu ruang aircond) pada masa akan datang (kalau boleh 2 tingkat).
Walau bagaimana pun, untuk situasi yang kondusif ini, saya berikan 4/5 pada pemiliknya.

3. Citarasa
Mee tarik yang di hasil kan di restoran ini dibuat secara manual (lihat video pembuatan di bawah). Proses nya agak rumit dan oleh itu, pelangan perlu bersabar menanti mee yang di pesan. Namun, penantian itu sememangnya berbaloi. Seperti yang saya katakan, saya memesan Mee Tarik Special Sauce. Dan rupanya seperti dibawah. Macam spagetti ... dan rasa awalnya pun macam spagetti juga. Agak kenyal tetapi sedap. Suapan pertama membuatkan saya rasa tidak mahu berhenti :).

Bagaimanapun, untuk nasi gorengnya, agak biasa dan perlu sedikit tambahan perasa untuk menikmatinya.

Walau bagaimana pun, untuk keseluruhan citarasa, saya berikan 4/5. Jika anda ke sini, pastikan hanya mencuba mee tariknya, atau ada pesan masakan lain (seperti kambing cucuk, dll) jika memilih nasi goreng yang ada didalam menu.











4. Harga
Tidak perlu cakap banyak. Harga memang berbaloi :)

Kesimpulannya:
Rugi kalau tak cuba :)





Sebahagian dari pelanggan yang juga rakan ketika mencuba :)








Video mee tarik di buat :)

Monday, May 27, 2013

Char Koey Teow - Bangi Style

Bagi menu/citarasa kali ini, aku ingin berkongsi mengenai makanan yang dikatakan asalnya dari Penang dan merupakan makanan orang cina, tetapi kini merupakan antara makanan kegemaran pelbagai kaum di Malaysia. Makanan yang dimaksudkan ialah Char Koey Teow atau dalam bahasa melayunya ialah Koey Teow goreng basah :)

Setiap tempat mempunyai rasa yang berbeza dan tahap kebasahan serta sos yang unik. Namun, bukan semuanya memberikan rasa yang nikmat dan sos merupakan entiti utama dalam masakan ini bagi memastikan keenakannya. Tanpa sos yang sedap, maka, char koey teow menjadi tidak menarik walaupun bahan lain seperti kerang dan udang dimasukkan sekali.

Dan untuk orang ISLAM, sudah banyak gerai orang ISLAM yang menyediakan masakan ini. Kali ini, aku ingin berkongsi sebuah restoran yang menu utamanya ialah char koey teow iaitu Hot Bangi Char Koey Teow.

Terletak di Bandar Baru Bangi dan berdekatan dengan Masjid Al-Hasanah, gerai ini telah lama dibuka dan ini merupakan kali pertama aku singgah. Lokasinya adalah seperti dibawah.

View Larger Map

Lokasi
Lokasi kali ini agak mudah serta agak 'ok' buat sementara waktu memandangkan masih lagi ada kawasan yang sedang dalam pembinaan. Setakat ini, untuk parking kereta, tidak ada masalah kecuali pada waktu tengahari atau awal pagi. Tetapi, restoran ini hanya dibuka selepas pukul 2 tengahari. Paling cantik ialah datang selepas waktu kerja dimana orang tidak ramai dan kawasan parking pun banyak.

Cuma restorannya agak kecil. Jadi kalau nak datang, kena datang awal (agak-agak lepas waktu kerja terus singgah).

Citarasa
Kali ini, kita bercakap mengenai char koey teow. Dari segi rasa, memang ok dan memenuhi selera tempatan. Cuma ada sedikit rasa hangit. Mungkin kerana kuali agak panas. Tetapi sos yang disediakan memang sedap dan tip-top. Aku hirup kuahnya itu sampai licin :).

Ada 3 jenis penyediaa; iaitu saiz kecil (RM4.50) atau saiz besar (RM5.50) atau bersama udang saiz besar (RM15). Aku hanya ambil saiz kecil memandangkan aku baru nak try rasa dan di akhir rasa, aku berpendapat bahawa aku kena datang lagi :).

Selain dari char koey teow sebagai menu utama, nasi lemak juga ada (nasi kukus lagi tu). Tapi aku tak try lagi la.


Kualiti
Kualiti char koey teow memenuhi standard. Tetapi dari segi layanan, agak kurang mesra. Mungkin aku bukan regular customer. Dari segi keselesaan restoran, boleh dikatakan okay, tetapi tidak sesuai untuk large group. 

Kesimpulannya
Lokasi: 4/5
Citarasa: 4/5
Kualiti: 3.5/5

Tuesday, April 30, 2013

Roti Canai Teras Jernang

Sudah agak lama saya tidak berkongsi mengenai makanan. Maklumlah, agak sibuk dalam pelbagai urusan hingga saya tidak sempat mengemaskini blog berkaitan makanan ini mengikut citarasa saya yang dibina berasaskan pada mak tersayang.

Roti Canai merupakan antara sarapan sinonim dengan masyarakat malaysia tanpa mengira kaum. Makanan berasaskan roti yang diuli dan dicanai sebelum dimasak atas kuali yang leper dan dimakan dengan pelbagai kuah seperti kuah dal (kuah tradisi), sambal/kari sardin, gulai kambing, gulai ikan dan gulai daging lembu.

Namun, mencari lokasi gerai atau restoran yang menyajikan roti canai yang baik termasuk dari segi kuahnya agak sukar memandangkan bukan semua gerai atau restoran menyajikan roti canai yang memenuhi selera aku yakni roti yang garing tapi lembut serta tidak kenyal/liat dan kuah yang menarik.

Disini saya nak kongsi sebuah gerai yang menyajikan antara roti canai terbaik di Malaysia. Terletak di kampung teras jernang, bandar baru bangi yang juga menempatkan dua institusi pendidikan tinggi iaitu Kolej Polytech-MARA dan UniKL-MFI, dan pusat perindustrian telah menjadikan gerai ini tumpuan para pelajar dan pekerja sekitar (Lihat peta dibawah)

View Larger Map

Gerai ini terletak dihadapan sebuah kedai membaiki kenderaan dan dibelakang gerai pula ialah tempat mengukir batu nesan. Gerai ini dibuka seawal jam 7pagi dan kaunter roti canai hanya ditutup pada hari isnin sahaja. Ada pelbagai jenis sarapan lain termasuk nasi lemak dan kuih muih tetapi yang menjadi sebutan ialah roti canainya yang garing dan enak.

Jadi... pada yang berkesempatan... sila lah rasa :) pasti tak menyesal.

Kualiti
Dari segi kualiti roti canai, saya beri terbaik kerana tidak pernah sekalipun saya hampa setiap kali singgah bersarapan disini. Tetapi untuk menu sarapan lain, agak menghampakan. Sambal nasi lemaknya tidak konsisten serta nasi lemaknya kurang dari segi lemaknya serta jenis lauk pauk.

Lokasi dan kawasan gerai
Untuk lokasi pula, gerai ini agak mudah dicari. Tetapi dari segi kawasan letak kenderaan, kawasan ini agak terhad dan sukar kecuali anda datang dengan motosikal atau sanggup berjalan jauh sikit. Dari segi kebersihan gerai pula, setakat ini ia pada saya hanya pada gred 'B'. Tidak kotor kecuali pada hari hujan, agak kurang kemas sedikit.

Citarasa
Untuk kali ini, tujuan saya merasa ialah roti canai. Maka, gerai ini menyajikan roti canai yang ada kelas tersendiri. Enak dan tidak ragu lagi dalam memenuhi citarasa mak saya :)




Keseluruhan
Kualiti: 4/5
Citarasa: 5/5
Lokasi dan gerai: 3/5

Kongsi dengan kawan bro

Memaparkan senarai makanan, warung, lokasi, dan pelbagai lagi berkaitan dengan makanan mengikut citarasa dan pilihan kebanyakan orang biasa di Malaysia.